Skip to main content

Malaysia

Vessel tenggelam: Tiga nelayan hilang di Langkawi

Operasi CARILAMAT disambung semula pada jam 7.30 pagi Rabu dengan melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta PPM menerusi aset PLC 5. - Foto Sinar Harian
Operasi CARILAMAT disambung semula pada jam 7.30 pagi Rabu dengan melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta PPM menerusi aset PLC 5. - Foto Sinar Harian
Advertisement

ALOR SETAR: Seorang kru berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang, selepas sebuah vesel nelayan dilaporkan tenggelam di perairan Kuala Teriang di Langkawi, Ahad lepas.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis Kapt Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata seorang kru Basri Mohd Nor, 47, diselamatkan vesel nelayan tempatan (VNT) berhampiran lokasi kejadian, sebelum mangsa dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan tiga lagi kru vesel bernombor pendaftaran KF 5420 (B) itu, kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Mohamad Shukri berkata vesel itu, kali terakhir dapat dihubungi pada Ahad kira-kira 11.33 malam, ketika berada sekitar lapan batu nautika ke barat Pulau Burau, Langkawi.

Beliau berkata tiga kru masih hilang, termasuk tekong vesel dikenali sebagai Kee Swee Kiat, 51, manakala identiti dua lagi individu belum dipastikan.

Advertisement

“Operasi CARILAMAT disambung semula pada 7.30 pagi ini, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi aset PLC 5,” katanya.

Mohamad Shukri berkata kawasan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor berdasarkan janaan Sistem SAROPS, bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan menyeluruh.

Beliau berkata Pusat Kawalan Hadapan (PHC) turut ditubuhkan di MRSC Langkawi bagi menyelaras pergerakan aset, penugasan anggota serta perkembangan operasi secara berterusan.

“Maritim Malaysia turut mempergiat usaha pencarian menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan dan komuniti maritim setempat bagi memperluas kawasan pengesanan mangsa,” katanya.

Komuniti maritim dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement