PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mempertahankan keputusannya untuk meneruskan usaha memerangi dadah di negara itu walaupun dengan cara membunuh.

Menerusi ucapannya yang disiarkan secara maya pada Isnin, Duterte menegaskan sekali lagi akan membunuh pengedar dadah di Filipina untuk menghapuskan masalah dadah di negara tersebut.

"Saya tidak akan menafikannya dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh catatkan perkara ini: Sesiapa yang menghancurkan negara saya, saya akan bunuh anda.

"Dan siapa yang merosakkan anak muda di negara ini, saya akan bunuh anda. Saya benar-benar akan hapuskan anda kerana saya cintakan negara saya," katanya.

Walaupun Filipina ketika ini berdepan tekanan dalam usaha menangani pandemik COVID-19, Duterte diharap memberi perhatian penuh kepada usaha memulihkan ekonomi berbanding isu dadah yang sering jadi tumpuan utama pentadbirannya.

Bagaimanapun, jelas Duterte, ramai pengedar dadah yang dilepaskan tanpa sebarang bayaran ikat jamin, tanpa alasan munasabah.

Sebelum ini, Duterte memaklumkan, tidak akan memberi kerjasama kepada siasatan ICC berhubung perang dadah di negara itu.

Ia selepas ketua pendakwa raya ICC memohon hakim membenarkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan bahawa polis Filipina membunuh hingga puluhan ribu orang awam antara 2016 dan 2019 dengan tidak mengikut undang-undang.