Skip to main content

Malaysia

Pemandu lori maut kemalangan di Kuala Selangor

nahas lori terbabas JBPM
Keadaan lori yang terlibat dalam nahas di Simpang Jalan Suara, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor. - Foto JBPM

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam parit dalam kemalangan di Simpang Jalan Suara, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.32 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Taqiuddin Jamil, 38, dilaporkan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas lori tiga tan dipandunya hilang kawalan.

Advertisement

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.54 pagi dan mendapati sebuah lori tiga tan bernombor telah terbabas sebelum terbalik ke dalam parit.

“Seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an didapati tersepit di bahagian pemandu dan anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat jenis rescue cutter,” katanya dalam kenyataan pada, Selasa.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 8.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala anggota bomba turut menjalankan kerja pembersihan di lokasi kemalangan," ujarnya.

 

 

Must Watch Video