Ringkasan AI
- Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, mengakui Brexit gagal memenuhi banyak janji dan menegaskan keperluan memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah.
- Burnham menyatakan Britain mengalami lebih banyak kerugian berbanding manfaat sejak Brexit, termasuk kemerosotan perdagangan dengan negara EU.
- Sidang kemuncak UK-EU dijangka membincangkan kerjasama perdagangan, tenaga, pelepasan karbon dan peluang pekerjaan untuk golongan muda antara Britain dan EU.
LONDON: Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, mengakui Brexit gagal memenuhi banyak janji yang dibuat kepada rakyat dan berkata hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) perlu diperkukuh semula bagi menghadapi peningkatan kecenderungan ke arah pengasingan dan perlindungan ekonomi di peringkat global.
Menurut Al Jazeera, Burnham berkata Britain lebih banyak mengalami kerugian berbanding manfaat sejak pengundian Brexit pada 2016 yang membawa kepada keluarnya negara itu daripada EU.
"Secara jujurnya, kita kehilangan lebih banyak daripada apa yang kita peroleh dalam tempoh 10 tahun lalu. Brexit keras yang dilaksanakan tidak mencukupi untuk Britain," katanya dalam ucapan di Lord Mayor's Banquet di London pada Isnin.
Beliau membandingkan situasi itu dengan kisah dongeng The Emperor's New Clothes, yang menggambarkan keadaan apabila orang ramai enggan mengakui kebenaran yang jelas di hadapan mereka.
Kenyataan Burnham dibuat menjelang sidang kemuncak UK-EU di Brussels pada Jumaat, yang menurutnya berpotensi membawa penambahbaikan kepada kehidupan rakyat, khususnya di kawasan yang sekian lama berdepan cabaran pembangunan.
Antara perkara yang dijangka dibincangkan ialah kerjasama dalam perdagangan makanan dan minuman, tenaga, pelepasan karbon serta skim yang membolehkan golongan muda bekerja untuk tempoh tertentu di Britain dan negara anggota EU.
Burnham turut berkata janji kempen Brexit untuk mengembalikan kawalan ke atas sempadan, undang-undang dan ekonomi negara tidak menjadi kenyataan, sambil menyatakan perdagangan Britain dengan negara EU merosot ketara sejak pemisahan itu.
Menurut beliau, Brexit menjadi titik permulaan kepada gelombang global yang menyaksikan peningkatan dasar perlindungan dan pengasingan, yang akhirnya melemahkan kerjasama antarabangsa.
Walaupun berikrar untuk memperbaharui hubungan dengan EU, Burnham menegaskan sebarang perubahan dasar perlu mendapat sokongan rakyat Britain dan kekal menghormati keputusan referendum 2016.