SEREMBAN: Beberapa lokasi termasuk pejabat Menteri Besar di sini menjadi tumpuan pihak media yang menanti perkembangan berhubung kemelut politik Negeri Sembilan.
Ia susulan surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan semalam.
Ismail bagaimanapun menerusi mesej ringkas memaklumkan beliau tidak dapat bertemu pihak media buat masa ini.
“Maaf, saya tak dapat berjumpa pemberita buat masa ini, tiada sidang media atau kenyataan media daripada saya, terima kasih,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama, di sini, hari ini.
Beliau turut memohon supaya semua pihak memberikannya ruang dan masa susulan isu peletakan jawatan berkenaan.
Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan tersebut, yang telah diutuskan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
-- BERNAMA