KIGALI (Rwanda): Pihak berkuasa kesihatan di Burundi pada Jumaat mengesan lapan sampel polio, secara rasmi mengisytiharkan wabak pertama di Afrika dalam tempoh lebih 30 tahun.

Sampel berkenaan ditemui pada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di daerah Isale barat Burundi dan dua kenalan lain yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit," lapor Agensi Anadolu memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di samping itu, lima sampel diambil dari sisa kumbahan seterusnya mengesahkan kehadiran virus polio jenis 2.

Matshidiso Moeti, pengarah wilayah WHO untuk Afrika, berkata pengesanan itu menunjukkan keberkesanan pengawasan penyakit di negara Afrika Timur itu.

"Polio mudah menular dan tindakan pantas perlu dilakukan bagi melindungi kanak-kanak menerusi imunisasi yang berkesan.

"Kami menyokong usaha negara untuk meningkatkan vaksin polio supaya tiada kanak-kanak berisiko mengalami penyakit itu," kata Moeti.

Kerajaan Burundi mengisytiharkan pengesanan virus sebagai kecemasan kesihatan awam kebangsaan, dan mengumumkan rancangan untuk melancarkan kempen vaksinasi polio dalam tempoh beberapa minggu akan datang yang menyasarkan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah.

-- BERNAMA