KUALA LUMPUR: Pengurusan Media Mulia Sdn Bhd (Media Mulia) memberi komitmen untuk mengkaji semula keputusan program cuti berbayar yang melibatkan hampir 100 pekerjanya, selain merombak model perniagaan syarikat.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia Abd Wahid Idris selepas bertemu Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil di Parlimen hari ini.
Abd Wahid berkata mereka kini masih berada dalam fasa perbincangan lanjut dan kekal terbuka kepada pelbagai pilihan yang bersesuaian demi kelangsungan operasi syarikat serta kebajikan pekerja.
"Dalam masa terdekat, fokus utama kami adalah melakukan penilaian menyeluruh dan melihat kaedah terbaik bagi merombak semula model perniagaan.
"Insya-Allah, selepas penelitian dan perbincangan bersama Menteri Komunikasi, mungkin akan ada beberapa pelarasan atau perubahan yang dilakukan terhadap pelan perancangan sedia ada," katanya kepada Bernama.
Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung lebih satu jam, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail, Pengarah Reformasi Amalan Media Majlis Media Malaysia (MMM) Raveena Nagotra dan Penasihat Media Mulia Datuk Eddy Aziz.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata mana-mana organisasi media yang berdepan masalah operasi dan kewangan diminta tampil berbincang bagi meneliti bantuan yang boleh diberikan selain memastikan pekerja media tidak berdepan risiko diberhentikan.
Semalam, MMM menggesa Media Mulia memastikan hak, ketelusan, serta kebajikan pekerjanya terus dilindungi susulan langkah penstrukturan semula membabitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Berdasarkan beberapa laporan media, Media Mulia dimiliki oleh Aurora Mulia Sdn Bhd (70 peratus) dan Opulence Global Asia Sdn Bhd (30 peratus). -- BERNAMA