KULAI: Pengguna media sosial diingatkan supaya berhati-hati terhadap taktik penipuan terbaharu yang mengeksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi situasi sedih bagi meraih simpati orang ramai dalam usaha mengutip derma palsu.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata biarpun masyarakat Malaysia terkenal dengan sikap prihatin, namun amalan murni tersebut kerap dieksploitasi oleh pihak yang mempunyai niat jahat.
Beliau berkata sehubungan dengan itu, netizen perlu meningkatkan celik digital dan membuat semakan sebelum memberi sebarang sumbangan agar keprihatinan dan rasa simpati tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
"Jadi berhati-hati, silalah buat semakan fakta baik-baik kerana AI memang satu (cabaran), tetapi sebelum ini kami juga banyak menerima aduan daripada pengguna yang gambar mereka disalah guna," katanya kepada pemberita selepas melawat SJKT Ladang Kulai Besar, di sini hari ini.
Teo berkata taktik manipulasi visual berasaskan AI kini semakin membimbangkan apabila sindiket memaparkan imej atau video janaan digital yang direka khusus bagi membangkitkan emosi mendalam untuk memperdayakan orang ramai.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memandang serius isu berkenaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menurunkan sebarang hantaran berunsur penipuan sekiranya menerima aduan.
Menurut statistik MCMC, tindakan penurunan hantaran berunsur penipuan yang dikemukakan kepada platform media sosial merekodkan peningkatan drastik, iaitu sebanyak 174,099 permohonan setakat 15 Okt lepas, berbanding 102,113 permohonan bagi tempoh keseluruhan tahun sebelumnya.
Daripada jumlah permohonan tahun ini, sebanyak 170,633 hantaran berjaya diturunkan pihak platform. Kadar pematuhan daripada platform media sosial untuk hantaran berunsur penipuan ini adalah sangat tinggi kerana sebahagian besar kes penipuan amat jelas kelihatan.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran dipercayai janaan AI yang memaparkan visual situasi sedih bertujuan meraih sumbangan awam dengan melampirkan kod QR akaun bank milik pihak tertentu. Visual itu dikesan sebagai janaan AI apabila pengguna media sosial mendapati gambarnya tidak konsisten dan logik.
Mengulas mengenai penyalahgunaan identiti fizikal, Teo berkata kementerian turut menerima aduan daripada individu yang mendakwa gambar serta nama mereka disalah guna tanpa kebenaran bagi tujuan kutipan derma.
Beliau berkata mangsa yang identiti atau gambarnya disalah guna dinasihatkan agar segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan pemilik akaun bank yang terlibat.
Mengenai lawatan kerja beliau hari ini, Teo berkata peruntukan bernilai RM150,000 daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah digunakan bagi mengagihkan lima unit papan pintar interaktif berserta kelengkapan khas kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil di daerah Kulai.
Katanya, SJKT Ladang Kulai Besar yang mempunyai bilangan murid tertinggi di daerah itu sebanyak 830 orang menerima dua unit papan pintar, manakala tiga unit lagi disalurkan masing-masing kepada SJKT Ladang Kelan, SJKT Ladang Kulai Oil Palm dan SJKT Sedenak bagi menyokong pembelajaran digital.
Selain itu, Teo turut meninjau kemajuan pembinaan blok baharu tiga tingkat bernilai RM4.3 juta di SJKT Ladang Kulai Besar tajaan Kementerian Pendidikan (KPM), yang merangkumi dewan terbuka di tingkat bawah serta lapan bilik darjah di tingkat atas dan dijangka diserahkan kepada pihak sekolah menjelang Jun tahun depan.
-- BERNAMA