Beijing terus merekodkan beberapa kes baharu COVID-19 untuk hari keenam berturut-turut pada Rabu.

Perkara itu memaksa pihak berkuasa ibu negara China itu untuk mengembalikan sekatan yang ketat bagi mengekang virus itu.

Jurucakap Kesihatan Beijing berkata, 31 jangkitan baharu disahkan pada 16 Jun menjadikan kumulatif jangkitan sejak Khamis lepas kepada 137 kes yang menyaksikan kebangkitan semula paling buruk virus itu sejak awal Februari.

Pihak berkuasa pada Selasa menaikkan amaran di Beijing kepada tahap dua yang merupakan tahap kedua tertinggi dalam sistem amarat kecemasan COVID-19 empat peringkat.

Ribuan penerbangan di Beijing turut dibatalkan.

Sebanyak 27 kawasan kejiranan ditetapkan sebagai kawasan berisiko sederhana yang mewajibkan orang ramai yang memasuki kawasan itu melakukan pemeriksaan suhu dan pendaftaran.

Sementara sebuah kawasan kejiranan, berhampiran sebuah pusat pemborongan makanan dikesan sebagai sumber penularan baharu dan berisiko tinggi.

Di bawah sekatan tahap dua, jalan raya di bandar masih dibuka, syarikat dan kilang masih tidak diarahkan tutup.

Bagaimanapun pergerakan orang ramai yang keluar masuk dari bandar dikawal ketat dan boleh diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 jika perlu, sementara penduduk di kawasan berisiko tinggi dikuarantin di kawasan kejiranan mereka dan diwajibkan menjalani ujian saringan.

Dalam pada itu, tadika, sekolah rendah dan menengah serta institusi pendidikan lain juga turut diarahkan tutup.

Penularan wabak itu dilaporkan berlaku di pusat makanan borong Xinfadi yang luas di barat daya Beijing di mana ribuan tan sayur, buah dan daging bertukar tangan setiap hari.