Pesakit kedua yang dibawa pulang dari Wuhan, China ke pangkalan marin Amerika Syarikat (AS) dekat San Diego, disahkan menghidapi wabak baharu koronavirus atau COVID-19.

Ini menjadikan AS mencatat kes ke-14, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada Rabu.

Jurucakap CDC, Ana Toro, berkata, pesakit itu dipercayai antara 232 individu yang dikuarantinkan di Marine Corps Air Station Miramar selepas di bawa pulang dari Wuhan awal bulan ini.

“Kes sebelum ini telahpun direkodkan beberapa hari lalu yang mana ia melibatkan pemindahan kumpulan yang sama.

“Kedua-dua pesakit warga San Diego itu telah diasingkan daripada terdedah kepada jangkitan virus itu di China sebelum tiba di AS.

Mereka yang dibawa pulang melalui pesawat yang berbeza itu ditempatkan dalam fasiliti yang berbeza,” tambahnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi CDC, Dr Christopher Braden berkata, setakat ini tiada tanda-tanda yang menunjukkan kes itu melibatkan jangkatan antara manusia di tempat kuarantin.

Pihak CDC, bagaimanapun, akan menjalankan siasatan yang mendalam kerana ia mungkin berhubung kait dengan kontak rapat.

Untuk rekod, sejumlah lapan kes virus baharu itu dilaporkan di California, menjadikan lebih separuh daripada kes jangkitan yang membabitkan keseluruhan AS dan tiada kematian dilaporkan.

Dua daripada kes itu juga dipercayai telah berjangkit melalui manusia ke manusia, iaitu pasangan suami isteri selepas salah seorang dari mereka pulang dari China.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian naik sekali ganda

BACA JUGA: AS sahkan kes ke-14