Catherine Connolly hampir pasti raih kemenangan bersejarah pilihan raya presiden Ireland

Reaksi Catherine Connolly pada hari pengumuman keputusan pilihan raya presiden Ireland, di Dublin Castle, Dublin, Ireland, 25 Okt 2025. REUTERS
ISTANBUL: Calon Bebas berhaluan kiri, Catherine Connolly dilihat berada di landasan untuk muncul sebagai presiden baharu Ireland pada Sabtu selepas kiraan awal dari seluruh negara menunjukkan kemenangan besar beliau ke atas calon yang disokong kerajaan, Heather Humphreys, lapor Anadolu Ajansi.
Kiraan tidak rasmi daripada beberapa kawasan pilihan raya, termasuk Dublin, Galway, Donegal, Clare, Meath dan Waterford menunjukkan Connolly mendahului dengan margin besar di beberapa kawasan apabila memperoleh dua pertiga undi pilihan pertama.
Di Donegal, kiraan awal meletakkan beliau mendapat 75 peratus undi manakala di Waterford beliau mendahului dengan 59 peratus, menurut penyiar nasional RTE.
Jika disahkan, kemenangan Connolly akan menandakan kali pertama dalam sejarah moden Ireland seorang calon berhaluan kiri memenangi jawatan presiden melalui undi pilihan pertama, sekali gus menjadi tamparan hebat kepada gabungan pemerintah Fine Gael-Fianna Fail.
Penyelaras kebangsaan kempen Belia untuk Connolly, Aoife McGowan, berkata ahli parlimen berusia 68 tahun dari Galway itu telah memberi inspirasi kepada generasi baharu pengundi. "Ramai pelajar teruja turun padang untuk bercakap mengenai pencalonan Catherine," katanya kepada RTE. "Beliau mempunyai visi untuk Ireland yang baharu dan lebih progresif."
McGowan berkata sokongan lantang Connolly terhadap hak rakyat Palestin memainkan "peranan besar" dalam menggerakkan pengundi muda.
Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka diumumkan lewat petang Sabtu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


