MENTERI Luar China dan India mengemukakan bantahan susulan pertempuran di kawasan sempadan Himalaya yang menjadi wilayah pertikaian kedua-dua negara.

Bantahan dibuat menerusi panggilan telefon.

Kedua-dua pihak bagaimanapun berjanji untuk tidak mengeruhkan keadaan.

India mendakwa tentera China cuba membina struktur bangunan dalam wilayah India, manakala China mendakwa India telah memulakan serangan.

Pertempuran di sempadan yang dipertikaikan ini adalah kali pertama dalam tempoh 45 tahun.

Menurut laporan awal, 20 tentera India terbunuh dalam pertempuran itu.

Tiada angka rasmi korban dari China dikeluarkan, namun laporan menyebut sekurang-kurangnya 40 tentera China terbunuh dalam pertempuran itu.

Insiden keganasan tanpa melibatkan serangan berbalas tembakan itu berlaku beberapa minggu selepas ketegangan meningkat berikutan kedua-dua negara mengerahkan ribuan tentera tambahan ke kawasan sempadan sepanjang kira-kira 3,500 kilometer yang menjadi pertikaian selama beberapa dekad.

Menurut sumber tentera, pasukan keselamatan terbabit saling berbalas tumbukan dan membaling batu manakala tentera China menyerang dengan batang kayu berpaku dalam pertempuran yang berlarutan selama lebih enam jam.

Sementara itu, protes anti China dilakukan di pelbagai bandar di India susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Di New Delhi, penunjuk perasaan yang cuba untuk protes di luar kedutaan China ditahan polis India.

Penunjuk perasaan turut menggesa boikot ke atas produk China sambil menghancurkan peralatan elektronik yang dihasilkan China.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menggesa China dan India menghentikan ketegangan.