China hukum mati 11 anggota sindiket penipuan Myanmar

Kesemua individu itu disabitkan kesalahan serius berkaitan jenayah penipuan telekomunikasi, pengubahan wang haram dan kegiatan terancang yang menyasarkan mangsa di China serta negara lain. -Gambar hiasan/Adobe Stock Photo
BEIJING: China pada Khamis melaksanakan hukuman mati terhadap 11 individu yang dikaitkan dengan sindiket jenayah rentas sempadan di Myanmar, termasuk anggota utama yang terlibat dalam operasi pusat penipuan telekomunikasi, menurut laporan media kerajaan.
Agensi berita rasmi melaporkan kesemua individu itu disabitkan kesalahan serius berkaitan jenayah penipuan telekomunikasi, pengubahan wang haram dan kegiatan terancang yang menyasarkan mangsa di China serta negara lain.
Hukuman dilaksanakan selepas proses perundangan selesai dan semakan kehakiman dimuktamadkan.
Beijing sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperhebatkan tindakan terhadap rangkaian penipuan yang beroperasi di kawasan sempadan Myanmar, khususnya di kompleks penipuan yang didakwa menahan pekerja secara paksa dan menjalankan penipuan berskala besar.
Pihak berkuasa China menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai amaran keras terhadap jenayah rentas sempadan, sambil menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara jiran bagi membanteras rangkaian jenayah terancang.
Setakat ini,butiran lanjut mengenai identiti kesemua individu yang dihukum mati tidak didedahkan, namun pihak berkuasa menegaskan usaha penguatkuasaan akan diteruskan bagi mematahkan operasi penipuan yang masih aktif di rantau tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


