China berikar untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan secara menyeluruh di kawasan penduduknya yang terlalu daif selain daripada menangani masalah pencemaran, kata penasihat politik atasan negara itu, Yu Zhengsheng.

Yu, yang merupakan Pengerusi Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC) berkata China memberi banyak penekanan dan usaha untuk melaksanakan inisiatif membasmi kemiskinan yang disasarkan.

"Setiap tahun kami tumpukan usaha kami ke atas sasaran pengurangan dan pembasmian kemiskinan dan lebih lima tahun lepas kami membuat pemeriksaan dan kajian di 17 wilayah, kawasan autonomi dan majlis perbandaran, melawat kesemua kawasan tumpuan pembasmian kemiskinan.

"Tugas utama kami tahun ini ialah mendapatkan hasil yang baik pada mesyuarat khas jawatankuasa tetap mengurangkan kemiskinanan dalam kawasan yang terlalu daif dan menangani pencemaran, juga di mesyuarat perunding khas bagi mencegah risiko kewangan dan membangunkan ekonomi sebenar," katanya.

Yu berkata demikian di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan pada pembukaan sesi pertama Jawatankuasa Nasional CPPCC ke-13, badan penasihat politik utama, di sini pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Yu berkata hubungan CPPCC dengan negara lain yang dilihat sebagai "rakan dari seberang" akan dieratkan, sama seperti usaha untuk mempromosikan pelaksanaan Inisiatif Belt and Road, strategi pembangunan dicadangkan China yang menumpukan kepada pembinaan rangkaian infrastruktur dan perdagangan menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika.

Beliau berkata dalam lima tahun lepas, China telah meningkatkan hubungan dengan negara sahabat yang menyumbang kepada persekitaran luaran yang positif.

Ini termasuk mempromosi kerjasama dalam membangunkan Inisiatif Belt and Road dan meningkatkan kesalinglengkapan dalam strategi pembangunan China dengan negara lain yang berkaitan.

Presiden China Xi Jinping turut hadir pada majlis itu.

-- BERNAMA