Skip to main content

Dunia

China kecam tindakan India namakan 27 lokasi di wilayah sempadan Zangnan

India China
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, usaha India untuk menggantikan nama yang lama digunakan oleh Beijing adalah tidak sah serta terbatal sekali gus tidak mampu mengubah fakta bahawa kawasan Zangnan adalah milik mutlak China. -Gambar hiasan
Advertisement

BEIJING: Kerajaan China mengecam sekeras-kerasnya tindakan India yang mengumumkan penamaan rasmi bagi 27 tapak di wilayah sempadan yang dipertikaikan oleh kedua-dua negara, lapor The Straits Times.

Kementerian Luar China dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, usaha India untuk menggantikan nama yang lama digunakan oleh Beijing adalah tidak sah serta terbatal sekali gus tidak mampu mengubah fakta bahawa kawasan Zangnan adalah milik mutlak China.

Zangnan merupakan nama yang digunakan oleh China bagi merujuk kepada wilayah Arunachal Pradesh yang dituntut oleh New Delhi, yang mana kawasan terbabit menjadi punca konflik berpanjangan di antara dua kuasa besar Asia itu sejak beberapa dekad lalu.

Tindakan itu hadir selepas Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India pada Jumaat lepas menetapkan nama baharu bagi beberapa kawasan termasuk laluan pergunungan, penempatan, sebuah tasik, dan sebuah tugu peringatan perang di negeri timur laut tersebut melalui peta rasmi Survey of India.

Antara nama yang diwartakan oleh New Delhi termasuk laluan pergunungan Dzo La, Riza La, Pukur La dan Thag La, tasik Sambho Sarovar serta Tugu Peringatan Sher-e-Thapa bagi mengukuhkan tuntutan kedaulatan mereka.

Walau bagaimanapun, media rasmi China, Global Times memetik pandangan beberapa sarjana yang menyifatkan tindakan sebelah pihak oleh India itu sebagai satu langkah "penipuan diri sendiri" yang hanya akan merumitkan lagi usaha bagi menyelesaikan isu sempadan secara baik.

Sebelum ini, India sering menegaskan bahawa Arunachal Pradesh akan sentiasa menjadi bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari negara mereka, selain menyifatkan tindakan serupa oleh China sebelum ini sebagai cubaan mengemukakan tuntutan tidak berasas.

Sengketa penamaan baharu ini berlaku ketika hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara jiran bersenjata nuklear itu dilaporkan baru sahaja mula pulih secara berperingkat selepas pertempuran sempadan berdarah pada Jun 2020 yang mengorbankan beberapa anggota tentera.

Perkembangan terbaharu itu juga dilaporkan bertepatan dengan penularan beberapa video dalam talian oleh pencipta kandungan India yang mendakwa wujud peningkatan aktiviti ketenteraan China di Arunachal Pradesh, meskipun dakwaan pencerobohan sejauh 60 kilometer tersebut disahkan tidak mempunyai sebarang bukti rasmi setakat ini.

 

Must Watch Video

Advertisement