SAMARKAND: China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk saling menyokong dalam isu melibatkan kepentingan bersama, kata Presiden China Xi Jinping ketika bertemu rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, di sini pada Khamis.

"Sejak awal tahun ini, China dan Rusia mengekalkan komunikasi strategik yang berkesan. Kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang diperhalusi dan diperkukuh bagi mengekalkan koordinasi yang rapat di peringkat antarabangsa, sekali gus menegakkan norma asas hubungan antarabangsa.

"China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk memikul tanggungjawab serta memainkan peranan peneraju dalam memelihara kestabilan dunia yang sedang bergelut dengan konflik dan pergolakan," kata Xi.

Presiden Xi berkata China komited bekerjasama dengan Rusia untuk memperdalam kerjasama praktikal dalam bidang melibatkan perdagangan, pertanian dan kesalinghubungan.

"Kedua-dua pihak perlu meningkatkan koordinasi di bawah rangka pelbagai hala termasuk Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) dan BRICS," kata Xi.

Selain itu beliau berkata kedua-dua negara juga perlu menggalakkan perpaduan dan memupuk rasa saling percaya, memperkasa kerjasama praktikal, dan memelihara kepentingan keselamatan serantau serta kepentingan bersama negara-negara membangun dan negara pasaran baharu.

Putin dalam ucapannya pula menyatakan bahawa dunia sedang mengalami pelbagai perubahan, namun satu hal yang tidak berubah ialah persahabatan dan sikap saling percaya antara Rusia dengan China.

Beliau berkata perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara juga kekal stabil.

"Rusia komited berpegang teguh pada prinsip Satu China dan mengutuk tindakan provokatif segelintir negara dalam isu mengenai kepentingan teras China," katanya.

Putin berkata Rusia bersedia meningkatkan komunikasi dan kerjasama dua hala dan pelbagai hala dengan China, memperkasa kerjasama dalam bidang utama seperti ekonomi, perdagangan dan tenaga.

"Rusia juga bersedia berusaha bersama dengan China untuk mendorong kerjasama dalam kalangan negara anggota SCO berdasarkan prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara masing-masing, untuk mewujudkan platform berwibawa dalam memelihara keselamatan dan kestabilan serantau," kata beliau.

Presiden Xi menghargai komitmen Rusia berhubung prinsip Satu China dengan menekankan bahawa Taiwan ialah sebahagian daripada China.

"China tegas menentang puak pemisah untuk 'kemerdekaan Taiwan' dan campur tangan luaran. Sebarang negara tidak berhak bertindak sebagai hakim dalam isu Taiwan," kata Xi.

-- BERNAMA