ANKARA: Pelakon Angelina Jolie, yang pernah berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengetengahkan skala kemusnahan di Semenanjung Gaza dengan berkongsi imej satelit sebelum dan selepas yang menunjukkan kerosakan meluas akibat genosid Israel di wilayah Palestin itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Anda kini boleh membuka Google Earth dan melihat apa yang telah dilakukan terhadap Gaza," tulis Jolie menerusi Instagram pada Sabtu, bersama imej yang membandingkan beberapa kawasan di Gaza sebelum perang dengan keadaannya pada musim panas tahun ini.
Imej berkenaan menunjukkan kawasan berhampiran Sekolah Al-Qadisiyah di bandar Rafah, Khan Younis di selatan Gaza dan Jalan Omar Mukhtar di Bandar Gaza, dengan sebahagian besar kawasan bandar yang sebelum ini padat kini musnah.
"Seluruh kawasan kejiranan telah menjadi runtuhan," kata Jolie sambil menambah rumah, sekolah, universiti, hospital, jalan raya, sistem bekalan air dan sanitasi serta infrastruktur lain mengalami kerosakan atau musnah.
Memetik analisis satelit PBB, Jolie berkata setakat Jun, 82 peratus struktur di Gaza mengalami kerosakan dan kira-kira dua pertiga daripada struktur yang rosak dinilai sebagai musnah.
Beliau turut memetik angka kemanusiaan yang menunjukkan 1.98 juta penduduk atau 94 peratus daripada populasi Gaza memerlukan bantuan tempat perlindungan dan barangan keperluan asas menjelang musim sejuk.
"Bantuan dan bahan untuk tempat perlindungan terus berdepan sekatan dan kelewatan," katanya.
Jolie berkata imej satelit itu membantu menunjukkan skala fizikal kemusnahan, namun tidak dapat menggambarkan kesannya terhadap kehidupan manusia.
"Apa yang tidak dapat ditunjukkan ialah bagaimana rasanya hidup di tengah-tengah kemusnahan itu, apa yang berlaku kepada keluarga yang terkorban dan bagaimana kehidupan mereka yang terselamat," katanya.
Beliau menggesa supaya tempat perlindungan, bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan dapat disalurkan kepada orang awam serta keadaan diwujudkan bagi membolehkan rakyat Palestin membina semula rumah, sekolah, hospital dan komuniti mereka.
"Kemusnahan itu dapat dilihat. Keperluannya diketahui. Apa yang penting sekarang ialah sama ada keperluan itu dipenuhi," kata Jolie.
Jolie, pemenang Oscar dua kali, berkhidmat sebagai Duta Muhibah PBB dan kemudiannya sebagai Utusan Khas Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) selama lebih 20 tahun, dari 2001 hingga 2022.
Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu, menurut angka Palestin.
-- BERNAMA-ANADOLU