Skip to main content

Malaysia

Empat maut di Gerik: Kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum rempuh lori - Polis

Kemalangan terjadi di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, mengakibatkan empat individu maut dalam kejadian tengah hari semalam. - Foto Zulfadhli Zulkarnain/BERNAMA
Kemalangan terjadi di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, mengakibatkan empat individu maut dalam kejadian tengah hari semalam. - Foto Zulfadhli Zulkarnain/BERNAMA

Advertisement

IPOH: Kemalangan maut membabitkan empat individu, termasuk seorang kanak-kanak dipercayai berpunca daripada kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam melibatkan tiga kenderaan iaitu lori Hino, Proton Persona dan Perodua Axia.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 20 tahun bersama tiga penumpang, iaitu dua lelaki berumur 19 dan 47 tahun serta seorang wanita berumur 47 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Jeli, Kelantan menuju ke Gerik.

“Sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berumur 42 tahun bersama seorang kelindan lelaki berumur 34 tahun turut bergerak dari arah yang sama.

“Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berumur 19 tahun bersama empat penumpang, iaitu seorang lelaki berumur 31 tahun, seorang wanita berumur 40 tahun serta dua kanak-kanak datang dari arah bertentangan, iaitu dari Gerik menuju ke Jeli.

Mohd Alwi berkata berdasarkan siasatan awal, Perodua Axia dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Proton Persona. 

“Perodua Axia kemudiannya terus hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori yang berada di belakang Proton Persona. Akibat rempuhan itu, Perodua Axia telah masuk ke bawah lori dan diseret sejauh kira-kira tiga hingga tujuh meter,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Mohd Alwi, empat mangsa yang berada di dalam Perodua Axia disahkan meninggal dunia, terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak manakala seorang kanak-kanak lagi mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata pemandu dan kesemua penumpang Proton Persona serta pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Usaha untuk mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera kenderaan (dashcam) sekiranya ada sedang dijalankan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori Khairul Anwar Abdul Manaf, 42, yang terlibat dalam kemalangan itu berkata beliau terdengar nafas seorang kanak-kanak perempuan yang ditemukan tersepit di bawah tubuh ibunya di dalam Perodua Axia.

Beliau berkata pada awalnya, orang ramai yang membantu menyangka hanya terdapat empat mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Bagaimanapun, apabila nak keluarkan seorang budak lelaki… pada mulanya disangka tinggal beberapa orang mangsa sahaja, namun rupa-rupanya ada lima orang. Budak kecil itu berada di bawah ibunya. 

“Ketika kanak-kanak perempuan itu dikeluarkan daripada kereta, mangsa masih bergerak, namun tidak menangis. Bagaimanapun, keadaan bayi itu kemudian senyap dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di sini semalam.

Beliau berkata kanak-kanak lelaki itu masih bernyawa, namun mengalami kecederaan parah pada kaki manakala kanak-kanak perempuan itu dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian muka.

Khairul Anwar berkata ketika kejadian beliau cuba mengelak Perodua Axia itu, namun terdapat kenderaan lain sebelum secara tiba-tiba kereta itu menghala ke arah lorinya.

“Kami nampak macam kereta itu nak pergi ke parit tetapi tiba-tiba macam menghala ke arah kami. Saya cuba nak brek dah, cuma tak boleh nak buat apa-apa ketika itu. Selepas itu, saya dengar bunyi dentuman yang kuat sampai tidak tahu situasi sebenar, sedar-sedar Perodua Axia berada di hadapan lori,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement