Skip to main content

Sukan

Tamat penantian 36 tahun, emas Sukan Asia paling bermakna buat Amirul

Amirul Zazwan bercakap kepada media ketika hadir pada Majlis Pengenalan Pemain Dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di Sentra Mall pada Ahad. - fotoBERNAMA
Amirul Zazwan bercakap kepada media ketika hadir pada Majlis Pengenalan Pemain Dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di Sentra Mall pada Ahad. - fotoBERNAMA

Advertisement

IPOH: Menamatkan penantian 36 tahun Malaysia untuk kembali menggondol emas acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia menjadi detik paling manis dan bermakna buat apit kiri negara Amirul Zazwan Amir sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan.

Pemain berusia 31 tahun yang mesra disapa ‘Ayong’ itu berkata kejayaan bersejarah pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berkenaan turut menjadi pembakar semangat untuk terus mengekalkan prestasi terbaik dan membantu Malaysia memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini.

“Saya memang amat mengidamkan pingat emas Sukan Asia. Apabila kita berjaya menamatkan penantian selama 36 tahun ini, ia menjadi satu sejarah yang sangat bernilai buat diri saya.

“Bagi saya, pingat emas ini juga membuktikan skuad kali ini antara yang terbaik pernah dibentuk dalam sejarah sepak takraw negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di sini pada Ahad.

Malaysia menamatkan penantian panjang itu selepas menewaskan musuh tradisi Thailand 2-0 dalam aksi mendebarkan di Nagoya City Mizuho Arena, Jepun pada 25 Sept lepas.

Kali terakhir skuad negara meraih emas acara regu berpasukan lelaki ialah pada edisi 1990 di Beijing, China, juga selepas menewaskan Thailand.

Amirul Zazwan berkata keserasian antara pemain selain percaturan taktikal barisan kejurulatihan menjadi antara faktor utama di sebalik kejayaan skuad negara.

“Kami sudah beraksi bersama untuk tempoh yang lama, jadi masing-masing tahu peranan dan kelebihan rakan sepasukan. Taktikal yang direncanakan jurulatih juga dapat dilaksanakan dengan baik hasil persefahaman yang terjalin,” katanya.

Mengenai penghijrahannya ke Perak Bison musim ini, bekas pemain Kuala Lumpur (KL) Thunder itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai peluang untuk menguji kemampuan diri selain menimba pengalaman baharu bersama juara bertahan Liga Sepak Takraw (STL).

“Saya harap dapat memberikan persembahan terbaik dan dengan pengalaman yang ada, saya juga mahu membantu Perak Bison mempertahankan kejuaraan musim ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement