NEW YORK: Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong dalam satu mesyuarat terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Palestin-Israel pada 18 Februari lepas, menyatakan bahawa Israel harus mendengar seruan yang meluas dari masyarakat antarabangsa untuk menghentikan aktiviti penempatan dan pencerobohan di wilayah Palestin, di samping menghentikan tindakan yang merosakkan asas tadbir urus Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA).
Menurut Fu, Gaza memerlukan gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan, dan sebarang serangan terhadap orang awam tidak boleh diterima.
Advertisement
China menyeru semua pihak yang terlibat, terutamanya Israel, untuk mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan menghentikan semua tindakan yang agresif.
China juga menyeru Israel agar mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, membuka sepenuhnya lintasan sempadan, membatalkan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan dan memastikan agensi kemanusiaan seperti Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dapat melaksanakan tugas mereka untuk menghulurkan bantuan.
Fu menegaskan bahawa Gaza adalah milik rakyat Palestin, dan sebarang perancangan mengenai masa depan Gaza harus selaras dengan prinsip "kemandirian Palestin dalam pemerintahan negara", mengambil kira keprihatinan negara-negara Asia Barat, dan kondusif bagi pelaksanaan 'penyelesaian dua negara'.
China akan terus menyokong peranan utama Palestin dalam pentadbiran Gaza pasca perang dan menyokong Majlis Keselamatan PBB untuk terus memantau dan mengamati situasi di kawasan ini dan perancangan pasca perang serta memainkan peranan yang sepatutnya.
Fu berkata, Israel telah mengumumkan beberapa keputusan baru-baru ini, termasuk pendaftaran tanah di Tebing Barat Sungai Jordan, memperluas langkah-langkah pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan itu. Keputusan seumpama itu dilihat telah melanggar Perjanjian Oslo, undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB.
China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mendorong gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan di Gaza, meredakan krisis kemanusiaan, melaksanakan "penyelesaian dua negara" supaya mencapai penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan bagi isu Palestin dengan secepat mungkin.
– BERNAMA-CMG