KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya hampir 200 negara menerima pakai penilaian global untuk beralih daripada bahan api fosil, pada sesi pleno penutupan Persidangan Pihak-Pihak ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu.

Penilaian global itu bermatlamat untuk membantu negara-negara menyelaras pelan iklim kebangsaan masing-masing dengan Perjanjian Paris 2015 yang menggesa supaya mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 darjah Celsius.

COP28 yang bermula pada 30 Nov dan berakhir pada Rabu (12 Dis) turut menyaksikan kumpulan negara maju, Kesatuan Eropah dan negara kepulauan mendesak komitmen untuk pemansuhan segera semua bahan api fosil.

Presiden COP28 Sultan Ahmed Al Jaber selepas memuktamadkan kesepakatan perjanjian itu, merakamkan penghargaan kepada semua negara yang telah bekerja keras untuk menjamin masa depan yang lebih baik bagi rakyat dan planet ini.

"Kita harus berbangga atas pencapaian bersejarah ini. Negara saya, UAE, bangga dengan peranannya untuk membantu menggerakkan proses ini.

"Kita telah menjawab respons komprehensif ke atas penilaian global dan menyusun rancangan tindakan yang kukuh untuk mengekalkan jangkauan 1.5 darjah Celsius," katanya.

Setiausaha Eksekutif Perubahan Iklim PBB Simon Stiell berkata pada setiap peringkat tindakan iklim harus mendorong tindakan yang seiring dengan pembangunan dan martabat manusia.

"Ia adalah garis hayat tindakan iklim, bukan garis penamat. Kerajaan perlu mengubahnya menjadi hasil ekonomi sebenar tanpa berlengah-lengah.

"Kita mesti meneruskan tugas untuk melaksanakan perjanjian Paris sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata pada awal 2025, negara-negara mesti menyerahkan Nationally Determined Contributions (NDC) baharu dan mesti menyelaraskannya dengan matlamat 1.5 Celsius dan terus berusaha untuk menambah baik proses tersebut.

"Tanpa persidangan itu, kita akan menuju ke lima darjah. Kita kini menuju ke tiga darjah," katanya.

NDC ialah tempat negara menetapkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan perubahan iklim dan untuk menyesuaikan diri dengan kesan iklim.

Sementara itu, utusan perubahan iklim Amerika Syarikat, John Kerry berkata penilaian global ini merupakan dokumen yang mencerminkan tugasan dua tahun bagi semua pihak dari seluruh pelusuk dunia.

"Walaupun tiada sesiapa di sini yang akan memastikan pandangan mereka terlaksana, hakikatnya dokumen ini menghantar isyarat yang sangat kuat kepada dunia.

"Kita mesti mematuhinya untuk mengekalkan jangkauan 1.5 darjah Celsius. NDC seterusnya akan diselaraskan pada 1.5 darjah Celsius....kita harus segera memuncakkan pelepasan gas rumah hijau dan menurunkannya.

"Buat kali pertama dalam sejarah, keputusan ini menggesa untuk beralih daripada bahan api fosil untuk mencapai sifar bersih pada 2050," katanya.

Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan bahawa pada pagi Rabu, teks penilaian global setebal 21 muka surat diterbitkan, menggesa negara-negara untuk beralih daripada bahan api fosil dalam sistem tenaga mereka, tidak termasuk menghapuskan arang batu, minyak dan gas yang diminta oleh kebanyakan negara.

Lebih daripada 100 negara sebelum ini telah menggesa untuk menghentikan sepenuhnya.

Ia juga merangkumi matlamat untuk menggandakan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan menggandakan kadar kecekapan tenaga sepanjang tempoh ini. Negara-negara G20 telah menyatakan komitmen masing-masing untuk tujuan itu.

Pada Isnin malam, pejabat presiden persidangan iklim menerbitkan teks draf yang mencetuskan gelombang protes dari banyak negara, yang mengkritiknya sebagai terlalu lemah dari segi perlindungan terhadap iklim.

Jerman dan EU menyifatkannya sebagai tidak dapat diterima.

-- BERNAMA