COP30: Pakar ASEAN mahu agenda realistik bantu rantau hadapi krisis iklim

Asia Tenggara sedang dilanda pelbagai bencana berkaitan cuaca yang menjejaskan ekonomi dan masyarakat luar bandar. - AP
PHNOM PENH: Para penyokong tindakan iklim Asia Tenggara menyeru supaya diwujudkan agenda serantau yang jelas bagi mempengaruhi dasar iklim, sambil memberi amaran bahawa banjir, kemarau dan ribut yang semakin buruk kini memusnahkan nyawa, sungai serta tanah pertanian di seluruh rantau ini.
Ketika para pemimpin dunia berhimpun untuk membincangkan tindakan iklim di COP30 di Belem, Brazil sejak Khamis, Asia Tenggara sedang dilanda pelbagai bencana berkaitan cuaca yang menjejaskan ekonomi pesat membangun dan masyarakat luar bandar dengan kerugian yang semakin meningkat.
Satu daripada negara paling terdedah ialah Timor-Leste.
"Perubahan iklim merupakan isu kritikal bagi Timor-Leste, yang 70 peratus penduduk bergantung kepada pertanian sara diri. Musim kemarau kini lebih panjang berbanding dahulu, dan para petani berdepan kekurangan air.
"Negara ini tidak mempunyai satu pun empangan dan tiada mekanisasi dalam sektor pertanian. Para petani masih menggunakan lembu dan kerbau untuk membajak sawah padi," kata Rektor Universiti Nasional Timor-Leste (UNTL) Joao Martins kepada Bernama dari ibu negara Dili.
Di Belem, para saintis alam sekitar dan pemimpin kerajaan dunia akan membincangkan isu utama termasuk pengurangan pelepasan karbon bagi menghadkan pemanasan global kepada 1.5?C, menarik modal swasta, menangani penebangan hutan serta pasaran karbon.
Keadaan di Asia Tenggara kekal membimbangkan.
Hujan lebat yang tidak menentu, puting beliung, taufan, banjir, peningkatan suhu dan gempa bumi memusnahkan harta benda, infrastruktur, tanaman serta sektor perikanan.
Dari kepulauan Filipina hingga ke negara paling padat penduduknya di rantau ini, Indonesia, dengan 270 juta penduduk, serta kuasa ekonomi baharu Vietnam, bencana berkaitan cuaca terus membawa penderitaan yang tidak berkesudahan.
Taufan yang sama turut melanda beberapa kawasan di Vietnam pada Khamis, memaksa negara itu menggantung aktiviti maritimnya.
"Kerajaan Asia Tenggara perlu hadir ke COP30 dengan agenda serantau yang jelas yang menekankan pelaksanaan dan hasil. COP30, akhirnya, akan dikenali sebagai Sidang COP Pelaksanaan.
"Selain komitmen, tumpuan mesti beralih kepada mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi pasaran karbon, pembiayaan iklim dan pemindahan teknologi - bidang yang ASEAN boleh menerajui melalui kerjasama dan bukannya persaingan," kata Penasihat Iklim di Pusat Tadbir Urus dan Kajian Politik yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Dr Renard Siew Yung Jhien kepada Bernama.
Ekonomi yang sedang pesat perindustriannya seperti Indonesia dan Vietnam kini berdepan dilema iklim, yang kerajaan perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan pekerjaan untuk berjuta rakyat sambil melindungi alam sekitar pada masa yang sama.
Institut Sumber Dunia (WRI) Indonesia mengenal pasti bahawa sektor tenaga dan pengangkutan merupakan penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida di negara itu.
Indonesia telah berikrar untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 29 peratus menjelang 2030.
"Indonesia masih bergelut untuk mencapai sasaran ekonomi, sosial dan iklimnya yang bercita-cita tinggi. Antara cabaran terbesar ialah ketiadaan pendekatan tetap bagi langkah penyesuaian iklim yang boleh diguna pakai oleh semua negara di rantau ini.
"Ini kerana alat pengukuran untuk penyesuaian lebih sedikit berbanding tindakan mitigasi, dan oleh sebab penyesuaian lebih bergantung kepada konteks tempatan, pelaburan dalam usaha penyesuaian iklim kekal tidak menentu.
"ASEAN, dengan keupayaan ekonomi yang pelbagai, juga perlu mengutamakan ekosistem hijau dan memimpin pembangunan ekonomi hijau rantau ini, memandangkan negara ini menjadi pengeluar utama sumber mineral kritikal dan memiliki kepelbagaian biologi yang tinggi," kata Pengarah Urusan WRI Indonesia, Dr Arief Wijaya kepada Bernama.
Siew berkata terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN yang diperjuangkan semasa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
"Akhirnya, Asia Tenggara mesti menempatkan dirinya bukan sekadar sebagai penerima pembiayaan iklim, tetapi sebagai rakan proaktif dalam merangka penyelesaian saksama yang mengimbangi pertumbuhan dan kelestarian.
"Sudah tiba masanya juga untuk mengangkat suara tempatan - daripada petani hingga komuniti pesisir - yang berada di barisan hadapan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan iklim tetapi masih kurang diwakili dalam dialog dasar," kata Siew.
COP30 diadakan tiga dekad selepas pemimpin dunia pertama kali bertemu di Berlin, Jerman untuk merangka agenda iklim global.
Brazil menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu tepat 10 tahun selepas COP21 di Paris, yang menetapkan sasaran bercita-cita tinggi untuk menghadkan peningkatan pemanasan global kepada 1.5?C.
Namun, banyak negara gagal mencapai sasaran nasional masing-masing, dan isu ini kini menjadi sangat dipolitikkan.
Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Pemimpin Dunia selama dua hari bermula pada Khamis, manakala Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) akan berlangsung dari 10 hingga 21 November.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


