Ringkasan AI
- MARA diminta bekerjasama dengan UiTM Business Club (UiBC) untuk memperkasa pembangunan kapasiti dan akses pasaran usahawan alumni UiTM.
- Kerjasama mentor-mentee antara MARA dan UiBC diharap dapat membantu perusahaan alumni berkembang serta menyediakan peluang perniagaan sebenar.
- Tiga teras utama digariskan: melahirkan pemimpin berasaskan teknologi, membawa hasil penyelidikan ke industri, dan memperkukuh peranan UiBC sebagai mentor graduan.
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta untuk menjalin kerjasama strategik dengan UiTM Business Club (UiBC) bagi memperkasa pembangunan kapasiti serta akses pasaran usahawan alumni universiti itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama menerusi program mentor-mentee itu penting bagi memastikan setiap jaringan perniagaan diterjemahkan kepada peluang sebenar serta membantu perusahaan alumni berkembang ke tahap lebih tinggi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penubuhan UiBC oleh Persatuan Alumni Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM bertepatan pada masanya dan perlu digerakkan melangkaui peranan sebuah kelab perniagaan biasa.
“UiBC mesti menjadi lebih daripada sebuah kelab perniagaan. Jadikan ia tempat usahawan berjaya membimbing mereka yang baru bermula, tempat berlakunya padanan perniagaan dan platform untuk membantu perusahaan alumni naik ke tahap seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Homecoming Alumni sempena Sambutan 70 Tahun Penubuhan FPP UiTM bertemakan Legacy in Motion di sini Sabtu malam.
Beliau berkata MARA harus membantu UiBC mengenal pasti aspek pembangunan kapasiti, penskalaan usahawan serta akses pasaran supaya setiap kerjasama diterjemahkan kepada peluang, pasaran dan pertumbuhan perniagaan yang sebenar kepada usahawan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyarankan agar FPP UiTM membawa projek sebenar industri ke dalam sistem pembelajaran, di samping menggandingkan pelajar fakulti berkenaan dengan pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengkomersialkan hasil inovasi.
“Harapan saya supaya fakulti ini membawa projek sebenar industri ke dalam pembelajaran. Pendekatan ini juga boleh menggerakkan cadangan supaya UiTM menjadi perintis universiti usahawan TVET dengan menggandingkan pelajar fakulti ini dan pelajar TVET untuk membawa hasil inovasi ke pasaran,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggariskan tiga amanah utama kepada pelajar, tenaga pengajar dan alumni FPP UiTM dalam melangkah ke dekad seterusnya.
Tiga teras utama itu merangkumi usaha melahirkan pemimpin yang mampu membuat keputusan berasaskan teknologi dan data, membawa hasil penyelidikan ke peringkat pelaksanaan bersama industri serta agensi kerajaan, selain memperkukuh peranan UiBC sebagai mentor kepada graduan yang ingin memulakan perniagaan.
-- BERNAMA