Sebanyak 16 kes baharu positif COVID-19 direkodkan di wilayah Victoria, Australia ketika negara itu sedang berusaha menurunkan jumlah kes baharu.

Setakat ini, wilayah tersebut merekodkan kes tertinggi dalam tempoh dua bulan dan mencatatkan lebih 80 peratus daripada kes baharu di Australia sejak beberapa minggu lalu.

Susulan peningkatan kes, kerajaan wilayah terpaksa menarik semula beberapa kelonggaran sejak Isnin.

“Kami sentiasa menjangkakan penambahan kes di Victoria sejak peningkatan kes minggu lalu. Masih terlalu awal untuk mendedahkan bagaimana penularan itu berlaku di wilayah ini.

“Bagaimanapun, kami sudah melakukan langkah pencegahan yang sewajarnya, dan memastikan kesihatan awam dalam keadaan baik.

“Beberapa saringan kesihatan juga akan dilakukan di kawasan 'hotspot' dan kami sedang mengenal pasti kontak rapat dan berusaha memutuskan rantaian jangkitan ini.

Dalam perkembangan lain, Bank Negara Australia memaklumkan keadaan ekonomi negara itu tidak seburuk yang dijangkakan.

Gabenor Bank Negara, Philip Lowe menjelaskan, ekonomi kembali pulih dengan keputusan kerajaan bertindak balas terhadap pandemik itu termasuk dari segi kesihatan awam.

Setakat ini, Australia antara negara yang mencatatkan kadar kematian terendah dengan 102 kematian.

BACA: COVID-19 di Australia: Negeri Victoria kuat kuasa peraturan lima tetamu sahaja di dalam rumah