Singapura, yang memasuki Fasa Kedua pembukaan semula, hari ini mengesahkan tambahan 219 kes jangkitan COVID-19 baru, dengan enam daripadanya melibatkan kes dalam komuniti.

Ini menjadikan jumlah kes jangkitan di negara itu kepada 42,955 kes, dengan kes pertama mereka dikesan pada 23 Jan.

Dalam data ringkas dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan daripada enam kes tersebut, lima melibatkan warganegara Singapura atau penduduk tetap dan seorang lagi melibatkan pemegang pas kerja.

Menurut Kementerian itu, majoriti besar kes masih lagi melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,840 kes sebagai kes berkaitan komuniti, 581 kes import dan 40,316 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 36,604 atau kira-kira 86 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit yang telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

Terdapat 189 kes yang disahkan masih berada di hospital pada Khamis dengan seorang berada di dalam keadaan kritikal di pusat rawatan rapi (ICU), menurut kementerian itu.

Kementerian itu menambah, 5,917 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat tetapi masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini 26 kematian telah dicatatkan di negara itu akibat komplikasi COVID-19, dengan dua kes pertama kematian dilaporkan pada 21 Mac.

Ketika tiada kluster baru dikenal pasti pada Khamis, empat kes tambahan adalah berkaitan dengan asrama pekerja terbesar di republik itu, Sungei Tengah Lodge, yang mempunyai 2,070 kes disahkan.

-- BERNAMA