Jabatan kesihatan Afrika memberi amaran benua itu sedang berdepan gelombang kedua COVID-19 selepas ia melepasi 2 juta kes positif.

Pengarah Organisasi Kesihatan Sedunia untuk Afrika, Dr Matshidiso Moeti memaklumkan sejak 28 hari lalu, kes dilaporkan meningkat di 19 negara di rantau berkenaan termasuk Ghana, Kenya, Angola dan Algeria.

Menurutnya, perhimpunan, perjumpaan keluarga dan jangkitan dari tempat kerja merupakan antara penyumbang kepada peningkatan kes.

Afrika menyaksikan lebih daripada 48,000 kematian di 47 negara di benua itu akibat COVID-19. 

Dalam pada itu, Moeti turut mengumumkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo berakhir dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian yang besar.

Tambahnya, inovasi yang digunakan untuk memerangi Ebola seperti teknologi menyimpan vaksin dalam suhu yang sejuk akan membantu apabila vaksin COVID-19 diperkenalkan di Afrika kelak.