JAKARTA: Situasi penularan COVID-19 di negara jiran, Indonesia, juga semakin membimbangkan lantaran laporan terkini mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 yang tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 38,391 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Media tempatan yang memetik Satuan Tugas (Satgas) Penanganan COVID-19 pada Rabu melaporkan, angka terkini itu menjadikan jumlah pesakit COVID-19 di Indonesia secara keseluruhannya berjumlah 2,417,788 orang, sejak kes pertama pada 2 Mac 2020.

Data tersebut juga menunjukkan tambahan seramai 852 pesakit COVID-19 yang meninggal dunia, kurang sedikit berbanding rekod tertinggi pada Rabu iaitu 1,040 orang.

Setakat ini, Indonesia mencatat sejumlah 63,760 orang yang maut akibat virus berkenaan.

Sementara itu, jumlah pesakit yang sembuh adalah sebanyak 21,185 orang, menjadikan jumlah akumulatifnya 1,994,573 orang.

Pada Rabu (7 Julai), republik itu mencatatkan sejumlah 34,379 kes baharu.

Kes COVID-19 di negara itu sudah dikesan di 510 daerah dan kota di 34 provinsi yang ada di Indonesia. Ini bererti penularan koronavirus sudah terjadi di lebih 99 peratus wilayah Indonesia.