AUSTRALIA mengenal pasti dua kes positif COVID-19 melibatkan varian virus mutasi yang mula dikesan di United Kingdom (UK), pada Rabu.

Pihak berkuasa Sydney melaporkan kedua-dua kes tersebut merupakan kes import yang memasuki New South Wales melalui penerbangan dari UK, dan ketika ini sedang menjalani kuarantin wajib di hotel.

Mutasi virus yang berasal dari Britain itu dipercayai 70 peratus lebih mudah untuk menjangkiti dan merupakan sumber penularan yang menyebabkan peningkatan kes mendadak di UK sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, mutasi berkenaan bukan penyebab peningkatan kes di Sydney baru-baru ini.

Dalam pada itu, pihak berkuasa beberapa negara Eropah, Kanada dan Iran membuat keputusan untuk menutup pintu negara bagi pelawat dari Britain dalam usaha mengawal penularan virus, khususnya varian mutasi itu.

Dalam perkembangan lain, Jepun dan Korea Selatan sedang bekerja rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta negara-negara lain.memantau mutasi virus berkenaan manakala Hong Kong telah melarang penerbangan dari Britain.

Pihak berkuasa China pula melaksakanan tempoh kuarantin wajib selama tiga minggu bagi mereka yang memasuki negara itu dari Britain bermula 22 Disember lalu, berbanding tempoh dua minggu sebelum ini.