LONDON: Eropah menjadi pusat pandemik sekali lagi sekaligus mendorong beberapa kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan perintah sekatan semula menjelang Krismas.

Eropah menyumbang lebih separuh daripada purata jangkitan tujuh hari di seluruh dunia dan kira-kira separuh daripada kematian baharu.

Kerajaan dan syarikat bimbang wabak yang berpanjangan akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Negara-negara termasuk Belanda, Jerman, Austria dan Republik Czech sedang mengambil atau merancang langkah untuk membendung penularan.

Perdana Menteri Belanda Sementara, Mark Rutte mengumumkan penutupan separa selama tiga minggu mulai Sabtu, yang pertama di Eropah Barat sejak musim panas.

Kebimbangan baru timbul apabila kempen vaksinasi yang berjaya telah meningkat menjelang musim sejuk dan musim selesema.

Kira-kira 65 peratus daripada penduduk Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) termasuk Kesatuan Eropah, Iceland, Liechtenstein dan Norway telah menerima dua dos, tetapi kadarnya semakin perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pengambilan vaksin di negara-negara Eropah Selatan adalah sekitar 80 peratus, tetapi rasa ragu-ragu dengan vaksin memperlahankan usaha vaksinasi di tengah dan timur Eropah serta Rusia.

Jerman, Perancis dan Belanda juga mengalami lonjakan jangkitan dan memberi cabaran kepada pemulihan ekonominya.

Namun, kemasukan ke hospital dan kematian secara relatifnya jauh lebih rendah berbanding setahun lalu.