AMSTERDAM:Pihak kawal selia Kesatuan Eropah (EU) meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca untuk golongan dewasa.

Menurut Agensi Perubatan Eropah (EMA), kelulusan adalah berdasarkan hasil ujian yang menunjukkan vaksin AstraZeneca mencatatkan keberkesanan pada tahap 60 peratus.

Kelulusan ini diberikan ketika pertikaian berterusan di antara blok Eropah dan AstraZeneca.

“Kami tidak membuat saranan, namun daripada maklumat dan penilaian saintifik yang diperolehi, kami mendapati ia boleh digunakan ke atas pesakit berusia 18 tahun ke atas.

“Namun kami tidak hadkan penggunaannya pada usia bawah 55 tahun.

"Ini adalah berdasarkan keputusan ujian klinikal, profil keselamatan dan penjujukan genom yang menunjukkan jangkaan terhadap populasi yang lebih berumur,” katanya.

AstraZeneca adalah vaksin ketiga diluluskan EU selepas Pfizer dan Moderna.

Keputusan ini bagaimanapun masih memerlukan kelulusan Suruhanjaya Eropah.

AstraZeneca sebelum ini didakwa gagal penuhi komitmen berhubung penghantaran vaksin kepada EU.

EU tahun lalu bersetuju membeli 400 juta dos vaksin AstraZeneca.