Filipina melaporkan 6,352 jangkitan baharu COVID-19 pada Selasa, peningkatan harian tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Angka yang dicatatkan pada Selasa menjadikan jumlah kes negara itu kepada 112,593. Angka kematian pula mencatat 11 pertambahan menjadi 2,115.

Manila dan wilayah-wilayah berhampiran kembali dikenakan perintah berkurung selama dua minggu bagi membendung jumlah kes yang melambung tinggi sejak perintah itu dilonggarkan pada Jun.

Pada Ahad, kerajaan Filipina mengumumkan Metro Manila dan wilayah-wilayah berdekatan seperti Laguna, Cavite, Rizal dan Bulacan kembali diletakkan di bawah perintah berkurung sehingga 18 Ogos.

Polis mengadakan sekatan jalan raya terhadap kira-kira 28 juta penduduk di Manila dan wilayah berdekatan.

Kawasan tersebut merupakan lokasi terletaknya sebahagian besar aktiviti ekonomi dan menjadi penempatan kira-kira suku populasi Filipina.

Pihak berkuasa juga menghentikan pengangkutan awam, kedai gunting rambut dan salun ditutup, sekali gus menjejaskan mata pencarian penduduk.