PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat dan institusi untuk menghasilkan sebuah hab pemindahan teknologi pertama vaksin COVID-19 di Afrika Selatan.

Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, konsortium tersebut melibatkan syarikat Afrigen Biologics and Vaccines yang akan bertindak sebagai pusat menghasilkan vaksin mRNA.

Pada masa syarikat tersebut juga akan memberi latihan kepada syarikat pengeluaran lain untuk menghasilkan vaksin tersebut.

"Hari ini saya berbesar hati mengumumkan bahawa WHO sedang berbincang dengan konsortium bersama beberapa syarikat dan institusi untuk menghasilkan sebuah hab pemindahan teknologi di Afrika Selatan.

"Ia melibatkan syarikat bernama Afrigen Biologics and Vaccines, yang akan bertindak sebagai hab bagi pembangunan dan penghasilan vaksin mRNA dan memberikan latihan kepada syarikat pengeluar, BioVac," katanya pada satu sidang media di Geneva pada Isnin.

Pada masa sama, Tedros turut memaklumkan jumlah jangkitan di Afrika Selatan melonjak sehingga 40 peratus sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menyifatkan ketidaksamarataan dalam pembekalan vaksin COVID-19 kepada negara miskin menyukarkan usaha mereka untuk membendung penularan pandemik itu.