BRAZZAVILLE: Hanya satu per tujuh kes jangkitan COVID-19 di Afrika yang dikenal pasti sekali gus bermakna jangkaan tahap kadar jangkitan di benua tersebut mungkin melebihi 59 juta invididu.

Ia antara dapatan terbaharu yang didedahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Serantau WHO Afrika, Dr Matshidiso Moeti menjelaskan, dengan kadar ujian saringan terhad, kadar jangkitan masih sukar untuk dikenal pasti di kebanyakan komuniti di Afrika.

"Di Afrika, dengan kadar vaksinasi rendah, ia adalah penting untuk memahami dengan lebih baik di mana dan bagaimana virus itu boleh menular dalam komuniti.

"WHO di Afrika, kita menggunakan sebuah model untuk menganggarkan jangkitan. Analisis kami mendapati, 1 per 7 kes (COVID-19) yang dikenal pasti bermakna kes sebenar COVID-19 yang dipikul Afrika adalah kira-kira 59 juta kes.

"Malah, kes kematian yang dilaporkan juga rendah dan jangkaan kami adalah sekitar 1 per 3 daripada jumlah kematian yang dilaporkan," katanya.

Untuk mendapatkan jumlah yang sebenar bagi mengekang penularan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan meningkatkan ujian saringan di lapan negara Afrika dengan sasaran untuk melakukan saringan terhadap 7 juta individu tahun hadapan.

Inisiatif tersebut digelar sebagai 'ring strategy' yang sebelum ini digunakan menangani wabak campak dan ketika penularan ebola.