LONDON: Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock menggesa rakyat England yang berusia 32 tahun ke atas untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Ini berdasarkan perkembangan bekalan vaksin yang mencukupi sudah tiba ketika ini.

Malah, Hancock menyifatkan perkembangan ini sebagai sesuatu yang menggembirakan dalam usaha untuk mempercepatkan program vaksinasi di negara itu.

"Kita mempunyai bekalan yang cukup ketika ini untuk dibuka kepada mereka yang berusia 32 tahun ke atas.

"Jadi sekiranya anda berusia 32, 33 atau ke atas, datang segera untuk dapatkan suntikan.

"Ini adalah langkah terbaik untuk melindungi anda dan yang tersayang dan untuk kita semua keluar dari pandemik ini," kata Hancock.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan varian baharu yang dilaporkan di utara Yorkshire hanya merekodkan beberapa kes.

Katanya, ia tidak menunjukkan varian baharu itu lebih bahaya atau lebih cepat menular.