Indonesia mencatatkan 3,622 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak kes pertama direkodkan di republik itu pada 2 Mac lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, kes positif keseluruhan meningkat kepada 184,268, manakala jumlah kematian keseluruhan kini 7,750 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 134 lagi kematian direkodkan di seluruh Indonesia.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 43,400 kes, dengan tambahan 1,359 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur pula merekodkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 2,459 orang, diikuti Jakarta (1,246), Jawa Tengah (1,061), Sulawesi Selatan (367) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA