JAKARTA:Indonesia mencatatkan 5,534 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Mac, menjadikan kes keseluruhan kini sebanyak 511,836 kes.

Bagaimanapun sebanyak 429,807 pesakit yang disahkan positif virus itu, dilaporkan telah sembuh daripada jangkitan berkenaan.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 65,438 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 114 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 16,225 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 130,461 kes, dengan tambahan 1,273 kes baharu, manakala provinsi Jawa Timur merekodkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 4,249 orang.

-- BERNAMA