WASHINGTON: Bilangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mencapai tahap tertinggi pada Sabtu.

Menurut data dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan, jumlah kemasukan ke hospital pediatrik merekodkan 1,902 kes.

Kanak-kanak merangkumi sekitar 2.4 peratus kadar kemasukan ke hospital COVID-19 di seluruh negara.

Mereka yang berusia bawah 12 tahun masih tidak dibenarkan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 membuatkan golongan ini berisiko terkena varian yang mudah dijangkiti.

Ini diburukkan lagi dengan kehadiran varian Delta yang menjadi dominan di seluruh negara dan menyebabkan kenaikan kes baharu jangkitan di kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi rendah.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), jumlah pesakit baharu yang dirawat di hospital berusia 18 hingga 49 tahun juga mencapai tahap tertinggi pada minggu ini.

Lonjakan kes baharu telah meningkatkan ketegangan di antara pemimpin negeri mengenai sama ada kanak-kanak di sekolah diwajibkan untuk memakai pelitup muka apabila mereka kembali ke kelas bulan ini.

Sekolah di Florida, Texas dan Arizona telah mewajibkan pelitup muka di sekolah.

Tindakan itu melanggar arahan gabenor negeri yang melarang daerah terbabit mewajibkan peraturan tersebut.

AS kini mempunyai sekitar 129,000 kes baharu COVID-19 setiap hari, meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua minggu.

Jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital berada pada tahap tinggi dalam tempoh enam bulan dan rata-rata 600 orang meninggal dunia setiap hari.