OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau melancarkan mandat vaksin yang paling ketat di dunia.

Antara lain, Kanada akan memberikan cuti tanpa gaji kepada penjawat awam yang belum divaksin.

Pada masa sama, pekerja dan penumpang pengangkutan memerlukan suntikan vaksin COVID-19 sekiranya melakukan perjalanan udara, kereta api dan kapal.

Penjawat awam persekutuan diarahkan untuk menyatakan status vaksinasi penuh mereka melalui portal dalam talian selewat-lewatnya 29 Oktober ini.

Manakala pekerja dan penumpang pengangkutan kereta api, udara dan laut yang berumur 12 tahun ke atas perlu menunjukkan bahawa mereka telah divaksin mulai 30 Oktober ini.

Kata Trudeu, prosedur operasi standard (SOP) perjalanan dan vaksinasi wajib bagi penjawat awam persekutuan adalah yang paling ketat di dunia.

Jelasnya, sekiranya orang ramai melakukan perjarakan yang betul dan mengambil vaksin, mereka berhak mendapat kebebasan untuk selamat daripada COVID-19.

Lembaga Perbendaharaan, yang menguruskan perkhidmatan awam, memaklumkan terdapat hampir 300,000 penjawat awam persekutuan, ditambah 955,000 pekerja yang dikawal selia secara persekutuan, mewakili sekitar 8 peratus tenaga kerja sepenuh masa Kanada.

Mewajibkan vaksinasi merupakan janji Trudeau semasa kempen pilihan raya bulan lalu.

Kanada telah memberi vaksin sepenuhnya kepada lebih daripada 80 peratus penduduknya yang layak berumur 12 tahun ke atas.