AMMAN: Menteri Kesihatan Jordan dipecat pada Sabtu selepas tujuh kes kematian dilaporkan susulan kekurangan bekalan oksiden di sebuah hospital merawat pesakit COVID-19 di negara itu.

Anggota polis turut dikerah bagi mengawal ratusan ahli keluarga yang marah akibat kejadian tersebut, lapor media tempatan.

Kekurangan bekalan oksigen dilaporkan di unit rawatan rapi, wad bersalin serta wad COVID-19 di sebuah hospital kerajaan yang baharu beroperasi di Salt, di barat Amman.

Perdana Menteri Jordan, Bisher al-Khasawaneh memaklumkan beliau telah memecat Menteri Kesihatan Nathir Obeidat. Dalam satu ucapan pada Sabtu, beliau berkata kerajaan akan mengambil tanggungjawab penuh ke atas insiden berkenaan.

"Ini merupakan satu kesilapan besar yang tidak dapat diterima. Saya rasa malu dan tidak akan memberi sebarang alasan berhubung insiden terbabit," katanya serta menambah beliau kini sedang menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.

Dalam pada itu Obeidat berkata, beliau juga mengambil tanggungjawab penuh ke atas kematian pesakit COVID-19 di hospital berkenaan selepas beberapa wad terputus bekalan oksigen selama hampir sejam.

Menurut saksi kejadian, kematian tersebut disebabkan oleh kecuaian dan perkhidmatan yang mengecewakan.

Masalah zon isolasi COVID-19 di hospital tersebut hanya meletakkan seorang doktor dan dua jururawat untuk memantau 50 hingga 60 pesakit dalam satu-satu masa.

Ada yang menyifatkan perkhidmatan yang disediakan hospital tersebut sebagai tidak adil.

Setakat ini, negara itu kini merekodkan jumlah kumulatif lebih 465,000 kes positif COVID-19 dengan lebih 5,000 kes kematian.

Jordan melancarkan program vaksinasinya sekitar Januari lalu dan akan melakukan proses inokulasi kepada lebih 4 juta rakyatnya menjelang akhir tahun ini.