Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berhubung peningkatan jangkitan COVID-19 sepanjang tempoh enam minggu kebelakangan ini.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata hingga Sabtu, 12 juta kes positif direkodkan di seluruh dunia.

“Hari ini dunia merekodkan 12 juta kes. Dalam tempoh enam minggu lepas, kes jangkitan meningkat berganda.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, COVID-19 turut mengancam kehidupan.

“Penyakit lain seperti demam campak, polio dan malaria akan merebak sekiranya imunisasi terhenti dan rangkaian bekalan bekalan perubatan terganggu.

"WHO akan meneruskan usaha kerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan mereka yang paling terjejas mendapat keutamaan,” katanya.

Dr Tedros turut mengulangi saranan supaya komuniti dunia menunjukkan solidariti dalam memerangi koronavirus.

Beliau turut menarik perhatian kepada kes di Itali dan Korea Selatan.

Jelasnya, terdapat contoh bahawa negara yang pernah mencatat jangkitan tinggi berjaya mengawal semula penularan virus.