COVID-19: Kes positif 20.7 juta, kematian lebih 751,000

Jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini mencecah lebih 751,448 kes.

Angka jangkitan COVID-19 di Rusia dan Afrika Selatan melepasi setengah juta dengan masing-masing merekodkan 905,762 kes dan 568,919 kes. - Gambar hiasan | Astro Awani
SEBANYAK 300,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di dunia menjadikan kes kumulatif global kini mencecah 20.72 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan, Amerika Syarikat terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 25 peratus daripada keseluruhan kes dikesan di negara itu.

Ini diikuti Brazil dengan 3.1 juta kes (15 peratus) manakala India 2.39 juta kes (11 peratus).

Angka jangkitan COVID-19 di Rusia dan Afrika Selatan melepasi setengah juta dengan masing-masing merekodkan 905,762 kes dan 568,919 kes.

Tujuh buah negara iaitu Mexico, Colombia, Chile, Sepanyol, Iran dan United Kingdom pula melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.

Sementara lapan lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 kes adalah termasuk Arab Saudi, Pakistan, Bangladesh, Argentina, Itali, Turki, Perancis dan Jerman.

Dalam pada itu, negara yang melepasi angka 100,000 jangkitan pula Filipina, Indonesia, Kanada, Qatar dan Kazakstan.

Lain-lain negara setakat ini masih merekodkan angka di bawah 96,000 kes positif.



Statistik yang sama mendedahkan angka kematian global meningkat 6,000 kes dalam tempoh itu.

Jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini mencecah lebih 751,448 kes.

Amerika Syarikat terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 166,777 kes, diikuti Brazil (104,201), Mexico (54,666).

United Kingdom dan India masing-masing melepasi angka 46,000 kematian.

Sementara itu Itali dan Perancis pula masing-masing merekodkan 35,231 kes dan 30,376 kes.

Dua negara terakhir yang melepasi angka kematian 20,000 adalah Sepanyol dengan 28,605 kematian dan Peru (21,713 kes).

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 18,000 kes.