Raja Muda Perlis saran aktiviti basikal lasak diperluaskan, pacu pelancongan sukan negeri

Tuanku Syed Faizuddin (depan, tiga dari kanan) berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah Cabaran Lumba Basikal Lasak Gravel Perlis, Northbound di Kangar, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar penganjuran aktiviti basikal lasak, khususnya acara gravel, diperluaskan dan diteruskan secara konsisten bagi merancakkan pelancongan sukan serta memperkenalkan keindahan semula jadi negeri itu ke peringkat lebih luas.
Baginda bertitah, penganjuran acara seumpama itu bukan sahaja berpotensi menarik penyertaan antarabangsa, malah mampu memberi limpahan ekonomi serta memperkukuh imej Perlis sebagai destinasi pelancongan alternatif.
Titah berkenaan dizahirkan ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah Cabaran Lumba Basikal Lasak Gravel Perlis, Northbound.Gravel Grinder 2025 sejauh 134 kilometer, yang berlangsung di Taman Rekreasi Tasik Melati, di sini.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah puteri kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Sebanyak 238 peserta mengambil bahagian dalam cabaran berkenaan yang julung kali dianjurkan, melibatkan peminat basikal lasak dari seluruh negara serta peserta antarabangsa termasuk dari Sepanyol, Singapura, Indonesia, Thailand dan Belanda.
Bagaimanapun, Baginda dimaklumkan bahawa hanya dua peserta adalah anak jati Perlis, manakala selebihnya terdiri daripada peserta luar negeri dan luar negara.
Dalam pertandingan itu, Muhammad Ahnaf Mohd Yasin muncul juara kategori Lelaki 26er MTB, manakala Adzura Harun menjuarai kategori Terbuka Wanita dan Saniy Syahmi mendominasi kategori Terbuka Lelaki.
Bagi kategori berpasukan pula, GRiP Team dinobatkan sebagai johan, diikuti ENIX sebagai naib johan dan HCG (Hillpark Cycling Group) di tempat ketiga.
Cabaran Northbound Gravel Grinder merupakan idea asal anak jati Perlis, Abdul Ramdzhani Abdul Rahman, yang bertujuan memperkenalkan jaringan laluan jalan berbatu kerikil merentasi landskap indah dan persekitaran semula jadi negeri ini.
Acara berkenaan juga menjadi penutup kepada siri jelajah gravel Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan Perlis menjadi tuan rumah penganjuran sukan berimpak tinggi.
Selain aspek pertandingan, acara itu turut menonjolkan semangat komuniti dan setiakawan, apabila para peserta bersama-sama menyumbang tenaga, idea serta sokongan bagi menjayakan penganjuran sulung tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga peminat tegar sukan berbasikal bertitah, penganjuran acara sebegini wajar dijadikan acara tahunan kerana berperanan menyokong agenda pelancongan sukan negeri, selari dengan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


