Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat melepasi angka 42,000 selepas tambahan 1,331 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 63 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini berjumlah 2,339 orang.

"Kes positif kini berjumlah 42,762 manakala 17,923 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 664 kes, diikuti provinsi Jakarta (578 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (150) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA