JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini melepasi 226 juta, berikutan hampir 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan 41.4 juta kes.

Ini diikuti India dengan lebih 33 juta kes dan Brazil dengan lebih 21 juta kes.

United Kingdom, Rusia dan Perancis antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes, manakala Turki melebihi 6 juta kes.

Argentina melebihi 5 juta manakala Colombia dan Sepanyol pula catat kes melebihi 4 juta.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 2.2 juta, Malaysia lepasi 2 juta kes dan Thailand dengan 1.4 juta kes.

Manakala Singapura merekodkan lebih 73,000 kes.


Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 4.65 juta.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 665,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 587,000 kes, India lebih 443,000 kes dan Mexico lebih 269,000 kes.

Sementara United Kingdom kini catat lebih 134,000 kematian.

Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 92,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol melebihi 85,000 kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 139,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 35,000 diikuti Malaysia dengan 22,000 kes.

Manakala Thailand dengan lebih 14,000 angka korban.