JUMLAH kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini melepasi angka 1.34 juta kes.

Statistik Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 248,000 kes, diikuti Brazil dengan lebih 166,000 kes.

Manakala India dan Mexico masing-masing merekodkan lebih 130,000 dan 98,000 kes kematian.

Sementara itu, angka kematian di United Kingdom (UK) melepasi 52,000 kes.

Negara yang melepasi angka 40,000 kes kematian ialah Itali, Perancis, Iran dan Sepanyol.

Argentina, Peru, Colombia dan Rusia pula merekodkan angka korban melebihi 30,000 kes.

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.




Sementara itu, jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 kini melepasi 56 juta.

Ini berikutan ratusan ribu kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data menunjukkan AS terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 11.41 juta kes.

Ini diikuti India dengan lebih 8.91 juta kes, manakala Brazil merekodkan lebih 5.91 juta kes.

Negara yang melepasi angka satu juta kes adalah Perancis, Rusia, Sepanyol, United Kingdom, Argentina, Itali, Colombia dan Mexico.

Peru, Jerman, Afrika Selatan, Iran, Poland, Chile, Ukraine dan Iraq termasuk dalam negara yang merekodkan lebih setengah juta kes.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 sehingga 500,000 kes jangkitan COVID-19 adalah Indonesia, Belanda, Bangladesh, Turki, Filipina, Arab Saudi, Pakistan, Romania, Kanada, Maghribi, Switzerland dan Nepal.

Sementara itu, sebanyak 23 negara merekodkan angka positif dalam lingkungan 100,000 sehingga 300,000 kes.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 100,000.