MODERNA sudah melengkapkan laporan semasa permohonannya kepada Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) bagi mendapatkan kelulusan penuh vaksin keluarannya.

Menurut syarikat pengeluar vaksin COVID-19 itu, ia melibatkan kelulusan penuh bagi individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Kenyataan itu menyusul beberapa hari selepas pengawal selia Amerika Syarikat (AS) beri persetujuan dan kelulusan penuh vaksin Pfizer dengan teknologi sama iaitu mRNA.

Vaksin dengan teknologi mRNA mendorong tubuh manusia untuk menghasilkan protein yang merupakan sebahagian patogen, bagi memberi tindak balas kepada imuniti seseorang.

Pegawai kesihatan AS mengharapkan kelulusan penuh vaksin COVID-19 ini akan membantu mengetepikan prasangka terhadap vaksin dan mendorong lebih banyak penggunaan vaksin.

Laporan penuh Moderna merangkumi data daripada kajian akhir yang menunjukkan keberkesanan vaksin 93 peratus, sehingga enam bulan setelah pemberian dos kedua.

Sebelum ini AS memberi kelulusan penggunaan kecemasan kepada Moderna pada Disember tahun lalu.

Syarikat itu telah mengeluarkan lebih 300 juta dos vaksin kepada pentadbiran AS setakat ini.