Perancis mula melonggarkan sekatan susulan penularan koronavirus selepas lapan minggu.

Jutaan penduduk mula bekerja, premis perniagaan dibuka dan murid kembali ke sekolah.

Beberapa bahagian negara itu, termasuk ibu kota Paris bagaimanapun kekal dengan kawalan ketat.

Perancis juga dibahagikan kepada zon hijau dan merah.

Kerajaan sebelum ini dikritik hebat berhubung pengendalian lemah krisis kesihatan berkenaan.

Tindakan Presiden Emmanuel Macron yang melaksanakan sekatan bermula 17 Mac disokong rakyat.

Namun kerajaan didakwa lewat bertindak balas dalam pengendalian kes jangkitan COVID-19.

Lebih 26,000 maut akibat COVID-19 di Perancis sejak 1 Mac. Perancis merupakan antara negara Eropah yang mencatatkan kematian tertinggi.

Selain Perancis, turut mula membuka ekonominya ialah Switzerland. Negara itu melonggarkan sekatan selama dua bulan selepas kes jangkitan mencatatkan penurunan ketara.

Premis perniagaan bagaimanapun melaksanakan amalan penjarakan sosial bagi mematuhi garis panduan dikeluarkan kerajaan.

Pejabat Kesihatan Persekutuan Switzerland melaporkan, 39 kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu, penurunan daripada kemuncak 1,500 kes dilaporkan sehari pada Mac lalu.

Negara itu merekodkan 30,344 kes positif, dengan 1,543 kematian.