TOKYO: Ibu negara Jepun, Tokyo kini memasuki peringkat keempat perintah darurat susulan penularan COVID-19.

Keputusan diumumkan Khamis lalu oleh kerajaan Jepun dalam usaha membendung penularan baharu yang mencatatkan peningkatan kes harian.

Di bawah peringkat keempat itu, restoran tidak dibenarkan menjual alkohol dan operasi restoran serta pusat beli belah hanya dibenarkan hingga jam 8 malam.

Perintah darurat itu akan berkuat kuasa hingga 22 Ogos ini sehingga tamat temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Penganjur temasya sukan berprestij itu turut menetapkan acara sukan di Tokyo dan tiga lagi wilayah -- Chiba, Kanagawa dan Saitama -- akan dijalankan tanpa kehadiran penonton.

Ia termasuk acara pembukaan dan penutup yang akan diadakan di Stadium Nasional Jepun, di Tokyo.

Bagaimanapun, acara yang akan diadakan di Miyagi, Ibaraki dan Shizuoka akan membenarkan penonton hadir.

Untuk rekod, bandar Tokyo merekodkan 614 kes baharu pada Ahad.

Sejumlah 1,902 pesakit dirawat di hospital dengan 61 dalam keadaan kritikal.