CALIFORNIA: Sebuah pesawat kargo C-5 milik tentera udara Amerika Syarikat (AS) yang membawa bekalan bantuan COVID-19 berlepas dari utara California ke India.

Bantuan yang disediakan termasuk bekalan silinder oksigen, topeng perubatan dan bekalan lain.

Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan menjelaskan krew di Pangkalan Tentera Udara Travis menyediakan palet kargo yang mengandungi kira-kira 400 silinder oksigen, satu juta topeng jenis N-95 dan satu juta kit rapid COVID-19.

Dengan lebih 300,000 kes baharu, India kini merekodkan lebih 18.3 juta kes seluruh negara.

India kini di tangga kedua negara paling terjejas di dunia selepas Amerika Syarikat.

Pada masa sama, lebih 3,000 kematian baharu direkodkan sejak 24 jam lepas.

India sejak tujuh hari lepas merekodkan peningkatan drastik dengan lebih 350,000 kes harian.

Antara punca peningkatan kes termasuk penemuan varian baharu di negara itu.