SINGAPURA:Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 46 tahun merupakan antara empat kes baharu jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Menurut data penuh yang di keluarkan Kementerian itu lewat malam tadi, wanita itu yang dilabel sebagai Kes 59513, merupakan seorang pemegang pas kerja yang bekerja sebagai jurujual di Toppan Merrill PTe Ltd di Church Street, tetapi tidak bertemu secara langsung dengan pelanggan.

"Beliau alami hidung tersumbat pada 19 Jan dan berada di rumah hampir keseluruhan hari tersebut. Disebabkan beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 59474, beliau telah dihubungi MOH pada 20 Jan dan diletakkan dalam kuarantin," menurut MOH.

MOH menyatakan yang wanita itu telah memberitahu mengenai simptomnya dan kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Sengkang di mana beliau menjalani ujian saringan COVID-19.

"Hasil ujian pada hari yang sama mendapati beliau positif. Ujian serologinya didapati negatif, menunjukkan yang merupakan jangkitan semasa," menurut kementerian itu.

Beliau kini sebahagian daripada kluster Kes 59429 yang kini mempunyai tujuh kes disahkan termasuk tiga lagi rakyat Malaysia.

Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan sejumlah 38 kes baharu, di mana 34 merupakan kes import dan empat kes jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,235.

Pada masa ini terdapat sejumlah enam kluster di republik tersebut

-- BERNAMA